MUTIARA KATA HARI INI-->

Tips Pemimpin Hebat

>> Wednesday, July 15, 2009



1. Miliki visi yang berpandangan jauh. Ia merangkumi visi untuk diri sendiri, pasukan, dan organisasi anda. ‘Pakejkan’ visi ini dan berkongsilah dengan yang lain. Berikan penekanan terhadap visi pada setiap peluang yang anda perolehi. Adakah ia selari atau sebaliknya?

2. Sanggup ambil risiko. Berani mencuba idea-idea baru yang berpotensi. Risiko ada di mana-mana, yang membezakannya samada besar atau kecil. Menyahut cabaran bermakna anda bersedia untuk mengambil risiko. Mereka yang gagal untuk menyahut cabaran biasanya tidak akan melakukan perubahan dan tidak dipandang orang.

3. Berikan dorongan kepada orang lain untuk berkreatif dan berinovatif. Itulah kunci perubahan jika anda ingin mara lebih jauh ke hadapan. Relakan diri anda untuk ‘dipengaruhi’ oleh idea-idea baru. Orang yang tidak bersedia menerima idea baru bukanlah orang yang baik untuk menjadi pemimpin.

4. Jangan takut membuat kesilapan. Belajarlah daripada kesilapan dari semasa ke semasa. Elakkan daripada mengulangi kesilapan yang sama. Jangan menyorokkan kesilapan anda dengan menipu mereka. Lambat laun ia akan terbongkar jua.

5. Libatkan semua orang. Jangan beraksi seorang diri. Ia bukan sahaja akan memenatkan anda, bahkan orang lain akan berasa diabaikan. Mereka rasa tidak dihargai kewujudannya. Walau apa jua jawatan dan kedudukan, mereka semua mempunyai potensi untuk memberikan idea dan pendapat yang kreatif.

6. Jadilah seorang yang fleksibel dan adaptif. Anda perlu ada kemahiran untuk mempelajari sesuatu dengan pantas dan mengubahsuainya mengikut keperluan semasa. Bekerja samalah dengan orang lain yang boleh membantu. Tiada gunanya meninggi diri dan ego tidak bertempat.

7. Lebih baik jika anda serba boleh. Pemimpin yang boleh mencangkupi pelbagai urusan akan lebih dihormati dan disegani. Kerana apa? Kerana anda dikira memahami kerja sebenar yang dihadapi oleh mereka. Dengan itu, keputusan dan arahan anda akan lebih disenangi dan diterima oleh mereka.

8. Berilah latihan dan peningkatan diri. Luangkan banyak masa untuk membuat kerja ini kerana ia seperti satu ‘pelaburan’ jangka panjang. Anda boleh melatih mereka dengan cara seminar, bengkel, taklimat, pengalaman bersama, serta mengajaknya melakukan sesuatu yang baru.

9. Galakkan kerja berpasukan. Jangan mengongkong dan menghalang mereka kerja bersama. Berikanlah autonomi dan autoriti jika mereka memerlukan sedemikian (dan jika keadaan mengizinkan) . Dengan itu, mereka akan diperkasakan serta akan menjadi lebih berdikari.

10. Ganjarilah mereka yang telah melakukannya dengan baik. Ada banyak jenis ganjaran termasuk pujian, sanjungan, bonus, kenaikan pangkat, anugerah, tambah gaji, dan banyak lagi. Apa yang penting; gunakan kuasa GANJARAN!

p/s: Artikel ini bukan untuk tatapan bacaan yang bersifat teorikal sahaja tetapi besarlah harapan pada yang membacanya termasuk penulis untuk diamalkan secara praktikalnya dalam penyusunan gerak kerja seharian kita..Firman Allah dalam surah As-Saff ayat ke 2 dan 3 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. " Mohonlah kepadaNYA agar kita dimasukkan dalam golongan yang difirmankan dalam ayat seterusnya "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP